Thursday, 21 June 2012

PANDUAN BERDOA



Berdoa merupakan pengakuan hamba, seorang muslim, terhadap kekuasaan Allah, Penciptanya, yang mutlak terhadap segala yang berlaku. 

Doa mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah. Allah menyukai orang yang berdoa kepadaNya. Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah daripada doa.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Dalam hadis yang lain pula, daripada Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Mohonlah kebaikan/kelebihan daripada Allah kerana sesungguhnya Allah suka diminta kebaikan/kelebihan dan sebaik-baik ibadah adalah menunggu kelapangan (terlepas daripada kesusahan).”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Doa adalah penggerak dalaman yang memberikan kekuatan, keyakinan, harapan dan keberkatan dalam apa jua amal perbuatan. Maka tidak hairan di dalam Islam setiap langkah sesuatu perbuatan, ada doa-doanya tertentu yang digalakkan supaya diamalkan sama ada sebelum memulakan sesuatu perbuatan ataupun selepas melakukannya.

Semua ini tidak lain, bagi menggalakkan orang-orang Islam agar sentiasa berdoa dan bagi menggambarkan bahawa berdoa itu adalah salah satu daripada keperluan yang penting di dalam mencari keberkatan, keredaan dan perlindungan Allah sepenuhnya pada mencapai segala apa yang dilakukan.

Sebab itu orang yang enggan berdoa bukan sahaja dia telah menutup bagi dirinya berbagai-bagai pintu kebaikan, malah dia juga akan mendapat kemurkaan daripada Allah. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya :

“Sesungguhnya orang yang tidak meminta (berdoa) kepada Allah, Dia (Allah) marah kepadanya.”

Kelebihan atau fadhilat doa itu amat besar dan banyak sekali. Melalui doa, keampunan dan rahmat diperolehi, dan melalui doa juga musibah dan kesusahan terhindar. Pendeknya, jika Allah menghendaki dan merestui doa hambanya, tiada ada satu daya kuasa pun yang dapat menghalangnya dan Allah tidak akan mensia-siakan keikhlasan orang yang berdoa.

Allah Ta‘ala berfirman di dalam surah Al- Baqarah ayat 186 yang tafsirnya :

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik dan betul.”

Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta‘ala berkata:

“Jika ada orang bertanya, apa manfaat doa itu padahal qada (ketentuan Allah) tidak dapat dihindarkan. Ketahuilah bahawa qada juga boleh menghindarkan suatu bala dengan berdoa. Maka doa adalah menjadi sebab bagi tertolaknya suatu bala bencana dan adanya rahmat Allah sebagaimana juga halnya bahawa perisai adalah menjadi sebab bagi terhindarnya seseorang daripada senjata dan air menjadi sebab bagi tumbuhnya tumbuh-tumbuhan di muka bumi.”

Perkara ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah di dalam surah Ar-Ra‘d ayat 39 yang tafsirnya :

“Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Dia juga menetapkan apa jua yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada ibu segala suratan.”

Manakala daripada Salman Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Tidak tertolak qada itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Dalam menghuraikan hadis di atas, pengarang kitab Bahr Al-Madzi membawakan masalah qadha mubram dan qadha mu‘allaq tentang makna kedua-dua jenis qadha itu dan hubungannya dengan doa: “(Kata ulama) Qadha Mubram itu ialah suatu yang ditentukan Allah di dalam ilmunya tiada boleh diubah dan tiada boleh ditukar akan dia dan Qadha Mu‘allaq itu seperti suatu perkara yang berta‘liq sekiranya engkau berdoa nescaya diperkenankan apa-apa doamu dan jika sekiranya engkau berbuat kebaktian dan silaturrahim nescaya dipanjangkan umurmu dan sekiranya tiada diperbuat kebaktian dan tiada berdoa, maka tiadalah diperkenankan dan ditambah umur menurut dan bertentang dengan barang yang di dalam ilmuNya. Maka qadha mu‘allaq itulah yang ditolak oleh doa.” (Lihat Bahr Al-Madzi 13-14/196)

Adapun kelebihan orang yang berdoa itu sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi yang maksudnya :

“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepadaNya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Di dalam ayat dan hadis tersebut, jelas diterangkan bahawa apabila seorang hamba berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan doanya dan tidak akan membiarkan doanya itu kosong sahaja.

Tetapi perlu diingat bahawa untuk mendapat doa yang dimakbulkan, adab-adab atau peraturan berdoa mestilah dipelihara oleh setiap orang yang berdoa. Jika seseorang memohon sesuatu kepada seorang raja, dia akan menjaga adab-adab dan peraturan-peraturannya dari berbagai-bagai segi, maka berdoa dan memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala tentulah lebih patut lagi dia menjaga adab dan tatacara berdoa agar doa yang dipanjatkan akan dimakbulkan.

Di antara tuntutan-tuntutan dan etika di dalam berdoa itu ialah:

1. Memelihara sumber rezeki seperti makanan, minuman dan pakaian daripada sumber yang haram sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik (suci bersih daripada segala kekurangan), Dia (Allah) tidak menerima kecuali yang baik (halal), dan Allah memerintahkan kepada orang-orang beriman dengan apa yang Dia perintahkan kepada para rasul.” Maka Dia (Allah) berfirman: “Wahai para rasul makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal salih; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (Al-Mu‘minun: 51) Dan Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (halal) yang telah Kami berikan kepada kamu” (Al-Baqarah: 172). Kemudian Rasulullah menyebutkan berkenaan seorang lelaki yang melakukan perjalanan yang jauh, yang kusut rambutnya lagi berdebu, dia menadahkan tangannya ke langit sambil (berkata): “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku (berdoa), (padahal) makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan yang haram,bagaimana doanya itu hendak dimakbulkan?” 
(Hadis riwayat Muslim)

2. Berwudhu dan memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji-muji nama Allah serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Daripada Abu Musa Radhiallahu ‘anhu berkata yang maksudnya :

“Aku datang masuk ke rumah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang Baginda di atas katil yang ditenun dengan tali dan di atasnya hamparan. Tenunan tali pada katil itu membekas pada punggung dan kedua lambung Baginda, lalu aku memberitahu kepada Baginda akan berita kami dan berita Abu Amir (yang terbunuh di dalam peperangan Awthas) yang berkata (kepadaku): “Katakanlah kepada Nabi, mintakanlah keampunan untukku” Lalu Baginda minta diambilkan air maka Baginda pun berwudhu. Kemudian Baginda mengangkat kedua tangannya lalu berdoa: “Ya Allah! Ampunilah Ubaid Abu Amir.” 
(Hadis riwayat Bukhari)

Doa adalah zikir (mengingati) kepada Allah. Berdasarkan ini diriwayatkan daripada Muhajir Bin Qunfudz Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya :

“Sesungguhnya dia (Muhajir bin Qunfudz) datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang Nabi membuang air kecil. Maka dia memberi salam kepada Baginda, maka tidak dijawab oleh Baginda sehinggalah Baginda berwudhu kemudian memberikan alasan kepadanya dengan bersabda: “Sesungguhnya aku benci menyebut nama Allah Azza wa Jalla kecuali aku di dalam keadaan bersih (daripada hadas kecil).”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Adapun menyebut dan memuji-muji Allah terutama dengan nama-nama Al-Asma’ Al-Husna dan memberi selawat dan salam kepada Nabi, dijelaskan di dalam surah Al-A‘raf ayat 180 yang tafsirnya :

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu.”

Daripada Anas Radhiallahu ‘anhu berkata:

“Setiap doa itu terhalang sehinggalah diucapkan selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.”
(Hadis riwayat Ad-Dailami)

3. Berdoa dengan jalan bertawassul dengan amal saleh. Allah berfirman di dalam surah Al-Ma’idah ayat 35 yang tafsirnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya).”


Manakala diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda maksudnya :

“Tiga orang keluar berjalan-jalan lalu mereka kehujanan, maka mereka masuk ke dalam sebuah gua yang terdapat di sebuah gunung. Lalu (apabila hendak keluar) mereka terhalang oleh satu batu besar. Nabi bersabda: “Lantas berkata sebahagian mereka (salah seorang) kepada yang lain: “Berdoalah kamu kepada Allah dengan amal salih yang paling baik yang telah kamu lakukan. Maka berdoa salah seorang daripada mereka: “Ya Allah! Sesungguhya aku mempunyai ibu bapa yang sangat tua. Dulu aku selalu keluar mengembala, kemudian aku datang untuk memerah susu, aku membawa air susu selanjutnya untuk aku berikan kepada ibu bapaku lalu keduanya minum, kemudian barulah aku beri minum anakku, keluargaku dan isteriku. Maka pada satu malam aku terhalang (memberi minum keduanya) kerana aku datang (membawa susu) sedang keduanya sedang tidur. Nabi menyabdakan kata orang itu: “Aku (benci) tidak suka untuk membangunkan keduanya walaupun anak-anak menggeliat-geliat kelaparan di kakiku. Maka begitulah keadaan kebiasaanku dan kebiasaan mereka berdua sehingga terbit fajar. Ya Allah! Jika Engkau mengetahui bahawa aku telah melakukan sedemikian itu kerana semata-semata untuk mendapatkan keredaanMu, maka bebaskanlah kami daripada kesusahan ini yang dari situ kami boleh melihat langit”. Nabi bersabda: “Lalu dibebaskanlah mereka (dengan bergerak satu pertiga batu besar itu). Berdoa seorang lagi yang lain: “Ya Allah! Jika Engkau mengetahui bahawa aku dulu pernah mencintai seorang perempuan iaitu salah seorang anak perempuan bapa saudaraku sebagaimana cinta yang mendalam seorang lelaki kepada seorang perempuan. Perempuan itu mengatakan: “Engkau tidak akan memperoleh sedemikian itu daripadanya sehingga engkau memberinya seratus dinar” Lalu aku berusaha sehingga aku berhasil mengumpulkannya (wang sebanyak itu), maka ketika aku duduk di antara kedua kakinya, dia (wanita itu) berkata: “Bertakwalah engkau kepada Allah dan janganlah engkau merosakkan mahkota kegadisan kecuali dengan haknya”. Lalu aku berdiri dan meninggalkannya, maka jika engkau mengetahui bahawa aku melakukan sedemikian itu kerana semata-mata mengharapkan keredaanMu, maka bebaskanlah kami daripada kesusahan ini”. Nabi bersabda: “Maka Allah membebaskan mereka (dengan bergerak batu itu) dua pertiga”. Berdoa pula seorang yang lain: “Ya Allah! Jika Engkau mengetahui bahawa aku mengupah seorang pekerja dengan beberapa cupak gandum lalu aku memberinya dan dia menolak untuk mengambil (upahnya). Lalu aku senghaja mengambil dari beberapa cupak gandum itu lalu aku tanam sehingga aku belikan daripada hasilnya seekor lembu dan pengembalanya, kemudian dia datang seraya berkata: “Wahai Hamba Allah! Berikan (kepadaku) hak saya”. Maka aku berkata: “Pergilah engkau kepada lembu itu dan pengembalanya, sesungguhnya itu adalah milikmu”. Pekerja itu berkata: “Adakah engkau menghinaku?” Aku menjawab: “Aku tidak menghinamu tetapi memang lembu itu benar-benar milikmu.” Ya Allah! Jika Engkau mengetahui bahawa aku melakukan hal sedemikian itu kerana semata-mata mendapatkan keredaanMu maka bebaskanlah kami”. Maka dibebaskanlah (musibah) itu daripada mereka.”
(Hadis riwayat Bukhari)

4. Berdoa menghadap ke kiblat dan mengangkat dua tangan sekira-kira nampak putih ketiak dan menyapu kedua tapak tangan ke muka setelah selesai. Daripada ‘Abbad bin Tamim Al-Mazini bahawa ia mendegar bapa saudaranya berkata maksudnya :

“Pada satu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pergi keluar memohon dikurniakan hujan. Maka Baginda membelakangi orang sambil berdoa mengadap kiblat dan membalikkan selendangnya, kemudian baginda bersembahyang dua rakaat.”
(Hadis riwayat Muslim)

Daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu ada kemuliaan dan sesungguhnya semulia-mulia majlis ialah majlis yang dihadapkan ke kiblat.”
(Hadis riwayat Ath-Thabarani dan Al-Hakim)

Diriwayatkan pula daripada Anas Radhiallahu ‘anhu berkata maksudnya :

“Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengangkat tangannya sewaktu berdoa sehingga ternampak putih kedua ketiaknya.”
(Hadis riwayat Muslim)

Daripada Umar bin Al-Khatthab Radhiallahu ‘anhu berkata maksudnya :

“Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda mengangkat kedua tangannya sewaktu berdoa, Baginda tidak akan menurunkan keduanya sehinggalah Baginda menyapukan keduanya ke mukanya.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

5. Bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasa penuh yakin akan diperkenankan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu maksudnya :

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin diperkenankan dan ketahuilah Allah tidak akan mengabulkan doa dari hati yang lalai serta tidak sungguh-sungguh.”

6. Berdoa disertai dengan kerendahan hati, khusyuk dengan jiwa yang tulus ikhlas,merendahkan suara di antara berbisik dan nyaring dan diiringi dengan perasaan takut azab Allah dan penuh harapan dengan limpah kurniaNya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman di dalam surah Al-A‘raf ayat 55 tafsirnya :

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan.”

Perkara ini ditekankan juga oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sabdanya yang diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu maksudnya :

“Wahai Manusia! Berlembutlah kamu terhadap diri kamu sesungguhnya kamu tidak berdoa kepada yang tuli dan tidak juga yang ghaib, sesungguhnya Dia bersama kamu. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Dekat yang berkat namaNya dan tinggi kebesaranNya.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Di dalam surah Al-Anbiya’ ayat 90, Allah berfirman maksudnya :

“Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.”

7. Tidak berdoa dengan sesuatu yang tidak selayaknya seperti perkara yang tidak munasabah dan mustahil. Maka oleh kerana itu adalah lebih utama berdoa dengan doa-doa yang ma’tsur yang datang daripada Al-Quran dan Sunnah dan para sahabat. Di samping doa-doa tersebut jauh daripada permohonan yang tidak selayaknya, doa-doa tersebut bersifat umum, menyeluruh dan padat. Daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata maksudnya :

“Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyukai doa yang menyeluruh maknanya dan dia tinggalkan selain daripada itu.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Oleh kerana itu doa yang paling banyak Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam baca sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu berkata maksudnya :

“Adalah doa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang terbanyak sekali (Baginda baca ialah): “Ya Allah! Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharakanlah kami daripada azab api neraka.”
(Hadis riwayat Bukhari)

8. Berterusan berdoa dan mengulang-ngulang doa sebanyak tiga kali dan tidak berputus asa serta tergesa-gesa menganggap doa tidak diperkabulkan. Diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta‘ala menyukai orang-orang yang mengulang-ngulang di dalam berdoa.”
(Hadis riwayat Baihaqi)

Daripada Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu berkata yang maksudnya :

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyenangi supaya seseorang itu berdoa tiga-tiga kali dan beristighfar tiga-tiga kali.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Manakala daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Dikabulkan (doa) salah seorang daripada kamu selama dia tidak tergesa-gesa iaitu dengan berkata: “Aku sudah berdoa (tetapi) tidak dikabulkan.” 
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tersebut di dalam kitab Al-Futuhat Ar-Rabbaniyyah ‘ala Al-Adzkar An-Nawawiyah, Makki menyebutkan bahawa jarak masa doa Nabi Zakaria ‘Alaihissalam memohon dikurniakan zuriat dengan berita gembira adalah 40 tahun. Begitu juga sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu ‘Athiyyah daripada Ibnu Jarir, Muhammad bin Ali dan Adh-Dhahhak bahawa doa Nabi Musa ‘Alaihissalam kepada Firaun tidak diperkenankan melainkan setelah 40 tahun berlalu.

Sesungguhnya kadang-kadang doa belum diperkenankan kerana doa itu menjadi pahala yang disimpan di akhirat nanti dan adakalanya menjadi sebab dipalingkan seseorang itu daripada sesuatu keburukan dengan sebab doanya itu. Oleh itu adalah lebih baik terus menerus berdoa daripada merungut-rungut doa tidak dikabulkan. Daripada Abu Sa‘id Al-Khudri berkata sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Tiada seorang muslim berdoa dengan satu doa, bukan doa yang mengandungi dosa dan bukan doa yang memutuskan silaturrahim, melainkan Allah akan mengurniakan dengan doanya itu salah satu daripada tiga perkara: sama ada dipercepatkan (disegerakan) baginya doanya itu, atau disimpan baginya pahala doanya itu di akhirat (sebagai balasan), atau dihindarkan daripadanya sesuatu keburukan seumpamanya. Mereka berkata: “Kalau begitu baiklah kami memperbanyakkan doa”. Bersabda Nabi: “Allah lebih banyak menerima doa hamba-hambanya.”
(Hadis riwayat Ahmad)

9. Memilih dan mengutamakan waktu-waktu dan tempat-tempat atau ketika dimana doa mudah dan cepat dikabulkan. Di antaranya ialah:

Di satu pertiga akhir waktu malam dan selepas menunaikan sembahyang fardu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Tuhan kami Tabaraka wa Ta‘ala turun tiap-tiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu pertiga akhir waktu malam berfirman: “Barangsiapa yang berdoa kepadaKu maka Aku akan mengabulkannya baginya, barangsiapa meminta kepadaKu maka Aku akan memberinya, barangsiapa memohon keampunanKu maka Aku mengampuninya.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Diriwayatkan daripada Abu Umamah Radhiallahu ‘anhu berkata, telah ditanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Doa apakah yang lebih didengar (dikabulkan)?” Nabi bersabda: “(Doa tatkala) satu pertiga terakhir malam dan sesudah sembahyang fardu.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Malam Lailatulqadar. Firman Allah di dalam surah Al-Qadr ayat 3-5 yang tafsirnya :
“Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar.”

Manakala diriwayatkan daripada Sayyidatina Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata yang maksudnya:

“Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu (katamu) jika aku mengetahui malam Lailatulqadar daripada mana-mana malam, apa yang hendak aku baca pada malam itu?” Nabi bersabda: “Engkau bacalah Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mulia, suka mengampuni maka ampunilah aku.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Hari Arafah. Diriwayatkan daripada ‘Amr bin Syuaib daripada bapanya daripada neneknya sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Sebaik-sebaik doa ialah doa pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku dan para nabi sebelumku ucapkan ialah tiada tuhan melainkan Allah yang tunggal yang tiada sekutu bagiNya. BagiNya kekuasaan dan bagiNya puji-pujian dan Dia Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Bulan Ramadhan. Ini adalah kerana bulan Ramadan ialah bulan yang agung, bulan yang mulia lagi berkat serta dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu Bulan Ramadan bulan yang diberkati, Allah memfardukan kepada kamu berpuasa di dalamnya. Dalam bulan Ramadan dibuka pintu-pintu syurga dan dikunci pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Tambahan lagi orang yang berpuasa itu tidak ditolak sebagaimana yang yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

“Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka, imam (pemerintah) yang adil dan doa orang yang dizalimi.” 
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Hari dan malam Jumaat. Daripada Abu Lubabah bin Abdul Mundzir berkata, telah bersabda Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
“Sesungguhnya hari Jumaat itu adalah penghulu segala hari dan hari yang paling agung di sisi Allah dan ia (hari Jumaat) adalah lebih agung di sisi Allah dari Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri. Pada hari Jumaat itu terdapat lima peristiwa penting. (Iaitu) Allah mencipta Nabi Adam, Allah menurunkan Nabi Adam ke bumi, Allah mewafatkan Nabi Adam, pada hari itu ada satu waktu, bila seorang hamba memohon kepada Allah pasti Allah mengurniakannya selama mana dia tidak meminta yang haram dan pada hari itu juga terjadinya Hari Kiamat. Tiada satu malaikat Muqarrib, tidak juga langit, bumi, angin, gunung, dan lautan kecuali mereka itu merasa takut akan hari Jumaat.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Diriwayatkan pula daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Apabila malam Jumaat, jika engkau berdaya bangun pada satu pertiga malam yang akhir, maka sesungguhnya padanya ada satu waktu yang dipersaksikan (oleh Allah dan para malaikat) dan doa pada waktu itu mustajab.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Di antara azan dan iqamah. Daripada Anas bin Malik berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Doa di antara azan dan iqamah tidak akan ditolak. Berkata para sahabat: “Maka apa yang patut kami katakan wahai Rasulullah (ketika itu)?” Nabi bersabda: “Pohonlah kepada Allah keafiatan di dunia dan di akhirat.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Ketika berhadapan dengan musuh di dalam peperangan. Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d As-Sa‘idi bahawasanya dia berkata yang maksudnya :
“Dua masa dibukakan keduannya pintu-pintu langit dan sedikit sekali doa orang yang berdoa ditolak; ketika panggilan untuk mendirikan sembahyang dan berhadapan dengan musuh dalam peperangan.”
(Hadis riwayat Malik)

Ketika sujud di dalam sembahyang. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Sehampir-hampir seorang hamba kepada Tuhannya adalah (ketika) dia sujud, maka kamu perbanyakkanlah doa.”
(Hadis riwayat Muslim An-Nasa’i, Abu Daud dan Ahmad)

Ketika mendengar kokokan ayam. Ini adalah berdasarkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Apabila kamu mendengar kokokan ayam maka mohonlah kepada Allah daripada kelebihanNya, sesungguhnya ayam itu telah melihat malaikat dan apabila kamu mendengar pekikan suara keldai maka mohonlah perlindungan dengan Allah daripada syaitan, sesungguhnya keldai itu telah melihat syaitan.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Adapun sebab digalakkan berdoa pada waktu itu, adalah bagi mengharapkan pengaminan malaikat kepada doa yang dibacakan dan permohonan keampunan mereka kepada orang yang berdoa dan persaksian mereka terhadap keikhlasan orang yang berdoa. (Lihat Fath Al-Bari 6/508 dan Syarh Shahih Muslim 9/41)

Oleh kerana itu juga ketika mengucapkan amin pada surah Al-Fatihah di dalam sembahyang adalah saat dimakbulkan doa kerana para malaikat turut juga mengaminkan pada ketika itu berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Apabila imam mengucapkan amin maka hendaklah kamu mengucapkan amin, sesungguhnya sesiapa yang bertepatan aminnya dengan amin malaikat nescaya diampuni baginya apa yang terdahulu daripada dosanya.”
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Ketika waktu hujan. Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Dua ketika (di mana doa) tidak ditolak atau sedikit sekali yang ditolak: (iaitu) berdoa ketika azan dan ketika pertempuran sedang berkecamuk (dan dalam satu riwayat mengatakan) dan ketika hujan.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Ketika meminum air zam zam. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Air Zamzam itu menurut kehendak tujuan meminumnya. Jika engkau meminumnya untuk memohonkan kesembuhan dengannya nescaya Allah akan menyembuhkanmu dan jika engkau meminumnya untuk memohon perlindungan nescaya Allah akan melindungimu dan jika engkau meminumnya bagi melepaskan rasa dahagamu nescaya Allah akan melepaskannya dan jika engkau meminumnya bagi kekenyanganmu nescaya Allah akan mengenyangkanmu, ia (air Zamzam) itu adalah lekukan daripada pukulan malaikat Jibril dan minuman Nabi Ismail.”
(Hadis riwayat Ad-Daraquthni dan Al-Hakim)

Ketika membaca Al-Quran terutama apabila khatam. Diriwayatkan daripada ‘Imran bin Hushain berkata, aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Barangsiapa yang membaca Al-Quran maka bermohonlah (berdoa) kepada Allah dengan Al-Quran, sesungguhnya akan datang suatu kaum yang membaca Al-Quran meminta (upah dan sedekah) kepada manusia dengan membacanya.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Diriwayatkan pula daripada Mujahid Radhiallahu ‘anhu berkata yang maksudnya :

“Telah diutus seseorang kepadaku dan dia berkata: “Sesungguhnya kami menjemputmu kerana kami hendak mengkhatam Al-Quran dan sesungguhnya telah sampai kepada kami bahawa doa diperkabulkan ketika mengkhatam Al-Quran. Berkata Mujahid: “Maka mereka berdoa dengan beberapa doa (ketika khatam Al-Quran).”
(Riwayat Ad-Darimi)

Di tempat-tempat yang mulia kerana keberkatannya dan kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah seperti di Masjidilharam, Masjid An-Nabawi dan Masjid Al-Aqsa. Para ulama berpendapat bahawa berdoa di tempat-tempat ini adalah mustajab kerana melihat kepada keberkatan dan kemuliaannya di samping rahmat Allah yang luas di tempat-tempat tersebut. Diriwayatkan daripada Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Satu kali sembahyang di Masjidilharam adalah menyamai dengan seratus ribu kali sembahyang, dan satu kali sembahyang di masjidku (Masjid An-Nabawi) menyamai dengan seribu kali sembahyang, dan satu kali sembahyang di Baitulmaqdis menyamai dengan lima ratus kali sembahyang.”
(Hadis riwayat Ath-Thabarani) 

Tuntutan dan etika di dalam berdoa, bukan hanya menghendaki kita berdoa untuk diri sendiri, akan tetapi ia juga menghendaki kita mendoakan untuk orang lain terutama kepada ibu bapa, zuriat keturunan, ahli keluarga, saudara mara, muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Doa yang seumpama ini banyak tersebut di dalam Al-Qur’an. Di antaranya ialah doa Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam di dalam surah Ibrahim ayat 41 yang tafsirnya :

“Wahai Tuhan kami! Berilah keampunan bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Ibu bapa adalah orang yang terutama sekali untuk didoakan oleh anak-anak sebagai membalas jasa keduanya memelihara dan mendidik di waktu kecil. Anjuran ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah Al-Isra’ ayat 24 yang tafsirnya :

“Dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua (ibu bapaku) sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Sesungguhnya doa anak-anak kepada kedua ibu bapa adalah besar manfaatnya, lebih-lebih lagi apabila keduanya telah meninggal dunia. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Apabila seseorang meninggal dunia, terputus amalnya daripadanya melainkan daripada tiga (sumber); daripada sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak salih yang mendoakannya.”
(Hadis riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla mengangkat darjat seseorang hamba yang salih di dalam syurga, maka dia berkata: “Wahai Tuhanku! Dari mana saya memperoleh darjat ini?” Allah menjawab: “(Ianya) daripada doa permohonan keampunan yang dilakukan oleh anakmu.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Sebagaimana anak-anak dianjurkan berdoa untuk kedua ibu bapa, begitu juga ibu bapa adalah dianjurkan supaya mendoakan anak-anak mereka sebagaimana Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam berdoa untuk anaknya yang tersebut di dalam surah Ash-Shaffat ayat 100 yang tafsirnya :

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong daripada orang-orang yang salih.”

Mendoakan orang lain lebih-lebih lagi orang yang tiada hadir dan tanpa pengetahuannya adalah lebih cepat dan mudah dikabulkan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash berkata, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Doa yang paling cepat diterima ialah doa seseorang bagi seseorang yang lain yang tidak hadir.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Manakala daripada Ummu Ad-Darda’ berkata, sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Doa seorang muslim bagi saudaranya yang tidak hadir adalah mustajab. Di sisi kepalanya ada malaikat yang diwakilkan setiap kali dia berdoa bagi saudaranya itu. Malaikat yang diwakilkan itu pula berkata: “Amin, dan bagimu seumpama (yang didoakan).”
(Hadis riwayat Muslim)

Imam Nawawi Rahimahullah Ta‘ala berkata bahawa doa yang semacam ini mustajab kerana keikhlasan orang yang mendoakan itu. Setengah ulama salaf apabila mereka hendak berdoa untuk diri mereka sendiri, mereka akan mendoakan juga saudara mereka yang muslim dengan doa yang seumpamanya kerana cara doa seperti ini adalah mustajab, di samping mereka juga akan mendapat seumpama apa yang mereka doakan bagi saudara mereka yang muslim itu. (lihat Syarh Shahih Muslim 9/44)

Oleh kerana itu juga, adalah disunatkan meminta agar didoakan oleh orang-orang yang mempunyai kelebihan seperti orang-orang salih sekalipun dia (orang yang meminta didoakan itu) mempunyai kedudukan yang lebih baik daripada orang tersebut (orang yang diminta supaya mendoakan), berdasarkan riwayat daripada Ibnu Umar daripada Umar bin Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya :

“Sesungguhnya dia (Umar) meminta izin kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk melakukan umrah. Lalu Nabi bersabda: “Wahai saudaraku! Sertakan kami di dalam doamu dan jangan engkau melupakan (untuk mendoakan) kami.” 
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Dari itu janganlah berdoa untuk diri sendiri sahaja, berdoalah untuk orang lain juga hatta kepada orang yang bukan berugama Islam sekalipun, tetapi dengan syarat bukan doa yang berbentuk permohonan keampunan bagi mereka, kerana ianya dilarang sebagaimana firman Allah di dalam surah At-Taubah ayat 113 yang tafsirnya :

“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.”

Doa yang diharuskan kepada orang yang bukan Islam ialah doa agar mereka mendapat hidayat, sihat tubuh badan dan seumpamanya yang layak disebutkan untuk orang yang bukan Islam sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata yang maksudnya :

“Thufail bin ‘Amr datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam), mohonlah (berdoalah) kepada Allah agar keburukan ke atas mereka” Orang-orang menyangka bahawa Baginda akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas mereka (kabilah Daus). Maka Baginda bersabda: “Ya Allah! Berikanlah hidayat kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka sebagai orang-orang Islam.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Selain daripada itu juga yang berhubung dengan doa, setiap orang Islam hendaklah menghindari daripada menzalimi dan menganiayai orang lain sekalipun kepada orang yang berbuat maksiat kerana doa orang yang dizalimi itu adalah sangat mustajab sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Mu‘az bin Jabal ketika Baginda mengutusnya ke Yaman yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya :

“Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya (doa orang yang dizalimi itu) tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Diriwayatkan pula daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Doa orang yang dizalimi itu adalah mustajab, sekalipun dia adalah seorang yang berbuat maksiat, kerana kemaksiatannya itu adalah tertanggung ke atas dirinya sendiri.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Akhirnya sebagai penutup, setiap orang Islam hendaklah memperbanyakkan doa. Berdoa adalah menunjukkan akan ingatan kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Mengingat Allah hendaklah dilakukan di setiap masa sama ada di waktu senang atau susah. Begitulah juga dengan amalan dalam berdoa hendaklah dilakukan di setiap masa lebih-lebih lagi di waktu senang dan mewah, dengan itu apabila di waktu susah doa akan mudah diperkenankan sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallah ‘anhu yang maksudnya:

“Barangsiapa suka supaya dikabulkan doanya oleh Allah di waktu kesulitan dan kesusahan, maka hendaklah dia memperbanyakkan doa di waktu senang.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)



Wednesday, 20 June 2012

MALAM NISFU SYAABAN AMAT MUSTAJAB DAN PENUH RAHMATNYA


Sumber :  JAKIM


Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat. 


Entri-Entri Yang Berkaitan :



~~~>  FADHILAT MENGAGUNGKAN BULAN SYAABAN


~~~>  FADHILAT BERPUASA DALAM BULAN SYAABAN


~~~>  RASULULLAH BANYAK BERPUASA SUNAT DALAM BULAN SYAABAN

FADHILAT MENGAGUNGKAN BULAN SYAABAN


Sumber : JAKIM


Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah  memperbanyak bertaubat, berdoa, berzikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW : 

"Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." 

FADHILAT BERPUASA DALAM BULAN SYAABAN


Sumber : JAKIM


Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah  memperbanyakkan puasa sunat. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : 

"Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid." 


Entri-entri berkaitan :



~~~>  MALAM NISFU SYAABAN AMAT MUSTAJAB DAN PENUH RAHMAT ALLAH


~~~>  FADHILAT MENGAGUNGKAN BULAN SYAABAN


~~~>  RASULULLAH BANYAK BERPUASA SUNAT DALAM BULAN SYAABAN

RASULULLAH BANYAK BERPUASA SUNAT DALAM BULAN SYAABAN



Sumber : JAKIM

Hadith :

Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa baginda akan berpuasa seterusnya. Dan baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban.”
(al-Bukhari)


'Syaaban' ertinya berpecah atau bercerai-berai. 

Bulan ini dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut akan keluar/berhijrah ke mana-mana tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya. 

Pendapat lain pula mengatakan, sebab diertikan demikian adalah sebagai tanda pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan. 

Pendek kata pengertian Syaaban adalah bulan  di mana di dalamnya untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan.

Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam celaan dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Entri Berkaitan : 





HUKUM HALAL DAN HARAM DALAM ISLAM


Fiqh telah menetapkan makanan yang halāl dan yang harām. Arak, khinzir serta anjing adalah contoh makanan yang telah ternyata tidak dihalalkan oleh syarak (haram) untuk memakannya. 

Menurut al-Qur'an, satu-satunya fokus yang secara jelas diharamkan adalah daging dari haiwan yang mati sendiri, darah, daging babi, dan haiwan yang didedikasikan selain untuk Tuhan. (Al-Qur'an 5:3).

Perkara berhubung Halal dan Haram telah diperjelaskan dengan begitu nyata dalam al-Quran. Setiap sumber makanan, sumber pendapatan, bahan keperluan harian dan sebagainya, wajib Halal. 


Dalam Islam tidak ada istilah ‘Separa Halal’, ‘Separuh Halal’ atau ‘Gred Halal dengan 3 Bintang’ atau sebagainya. Setiap bahan dan sumbernya perlulah 100% Halal malah suci dan baik dan tidak menimbulkan rasa was-was atau keraguan mengenai status Halalnya. Ini adalah kerana setiap sumber yang haram akan menjadi darah daging dan akan menjejaskan amalan, doa dan personaliti dalaman dan luaran seseorang.

Sumber bahan makanan dan minuman

Sumber utama makanan dan minuman manusia adalah dari haiwan, tumbuh-tumbuhan, bahan semulajadi, bahan kimia dan mikro-organisma yang mana ada di antaranya yang dihalalkan dan ada yang diharamkan

Haiwan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Haiwan Darat dan Haiwan Air.

Haiwan Darat 

~  meliputi semua haiwan darat(mamalia maun @ mamalia herbivor)seperti lembu,rusa,kambing dan sebagainya, serta keluarga burung yang tidak beracun dan muncung paruhnya tumpul dan bengkok seperti itik,ayam,burung puyuh dan sebagainya halal dimakan, kecuali;

i.  Haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.(Disembelih bukan kerana Allah)

ii. Babi.

iii. Anjing.

iv. Haiwan(mamalia maging @ mamalia karnivor) yang mempunyai taring atau gading yang digunakan untuk membunuh iaitu haiwan-haiwan buas seperti harimau, beruang, gajah, badak sumbu, kucing dan seumpamanya.

v. Burung yang mempunyai kuku pencakar, paruh tajam, makan menyambar (burung pemangsa) seperti burung helang, burung hantu dan seumpamanya(karnivor).

vi. Haiwan-haiwan yang disyariatkan oleh Islam untuk dibunuh seperti tikus, kala jengking, burung gagak, lipan,lipas,lalat, ular dan seumpamanya(reptilia).Namun begitu sejenis reptilia padang pasir itu biawak padang pasir(dhab) boleh dimakan dalam Islam.

vii. Haiwan yang dilarang oleh Islam membunuhnya seperti semut, lebah, burung belatuk, burung hud-hud dan labah-labah. Sejenis belalang daun yang darahnya tidak mengalir boleh dimakan menurut Islam.

viii. Haiwan yang dipandang jijik (keji)(al-Khabaith) oleh umum seperti kutu, lalat, ulat dan seumpamanya.

ix. Haiwan yang hidup di darat dan di air (dua alam) seperti katak, buaya, penyu, anjing laut,singa laut dan seumpamanya(amfibia).Ketam yang hidup dua alam seperti jenis Ketam Batu dan Ketam Hijau adalah haram dimakan(sila lihat penjelasan di rencana di bawah).

x. Semua jenis haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang dihasilkan oleh bioteknologi DNA adalah halal, namun haram dimakan yang berasal dari haiwan yang lahir dari salah satu keturunan dari babi atau anjing.

Haiwan Air

Haiwan air ialah haiwan yang boleh hidup secara hakikinya di dalam air sahaja. Ia adalah halal dan boleh dimakan kecuali yang beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan manusia. Ikan Belacak halal dimakan.

Tumbuh-tumbuhan

Semua jenis tumbuh-tumbuhan dan hasilnya adalah halal dimakan kecuali yang berbisa, beracun, memabukkan, membahayakan kesihatan manusia serta yang dihasilkan oleh bioteknologi DNA yang bersumberkan dari bahan yang haram.

Minuman

Semua air adalah halal diminum kecuali yang beracun misalnya racun atau ubatan merbahaya, memabukkan dan membahayakan kesihatan manusia dan bercampur dengan benda-benda najis.Seperti arak,alkohol peminum dan berkaitan dengannya.

Bahan Semulajadi

Semua bahan semulajadi seperti air, mineral dan lain-lain adalah halal kecuali yang bercampur dengan najis, beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan.

Bahan Kimia

Semua bahan kimia adalah halal kecuali yang bercampur dengan najis, beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan.

Bahan Tambah

Bahan Tambah (Food Additives) seperti penstabil, pengemulsi, pewarna,perisa,pengawet dan seumpamanya adalah halal kecuali yang dihasilkan dari sumber haiwan atau tumbuh-tumbuhan yang diharamkan oleh hukum syarak.

Bahan Gunaan Orang Islam

Bahan gunaan orang Islam boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu;

a) Kosmetik

b) Pakaian dan peralatan.

Kosmetik

Kosmetik adalah bahan-bahan atau ramuan yang terdiri daripada pelbagai unsur untuk dimasukkan ke dalam tubuh, disapu, digosok, dibalut, ditempel, dipakai dengan tujuan untuk kecantikan seperti pewarna rambut, bedak, gincu, pewarna kuku,maskap muka,celak dan seumpamanya.

Bahan kosmetik yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan dan bahan kimia adalah boleh digunakan kecuali yang beracun dan membahayakan kesihatan. Bahan kosmetik yang diperbuat daripada sumber haiwan halal yang disembelih menurut kehendak syarak adalah boleh digunakan.

Nota tambahan:

Islam melarang penggunaan perwarna hitam dengan tujuan untuk menghitamkan rambut, penggunaan warna lain seperti warna perang dan sebagainya adalah dibolehkan, namun penggunaannya mestilah bertempat dan tidak mendatangkan keburukan di kalangan masyarakat serta bahan yang digunakan perlulah suci, selamat, halal dan tidak menyekat pengaliran air masuk ke dalam kulit kepala. 

Pembuatan tatu pada tubuh manusia dengan apa cara sekali pun juga adalah haram disisi Islam.

Pakaian dan Peralatan

Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat dari tumbuh-tumbuhan boleh digunakan.

Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat daripada bulu haiwan boleh digunakan kecuali bulu babi dan anjing.

Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat daripada tulang, tanduk,kerang-kerangan, kuku dan gigi haiwan yang dagingnya halal dimakan melalui sembelihan mengikut hukum syarak boleh digunakan.

Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat daripada kulit haiwan (kecuali kulit babi dan anjing) yang telah disamak boleh digunakan.

Menyambung rambut palsu bukan bermaksud menocang rambut sendiri adalah haram perbuatan itu. 

Wanita Islam yang sudah akhil baligh wajib baginya mengenakan tudung bagi menutup rambutnya dan kepalanya. 

Semua umat Islam samada lelaki ataupun wanita wajib baginya untuk menutupkan aurat nya seperti yang telah diperintahkan oleh Allah. Islam juga melarang akan penganutnya untuk mencabut, memotong, mencukur bulu alis mata atau keningnya, kerana perbuatan itu adalah haram serta mengubah hak ciptaan Allah Taala.

Membersihkan kulit haiwan dan manfaatnya

Membasuh Kulit Selepas Menyamak

Menurut pendapat yang ashah, ketika menyamak kulit binatang tidak wajib dibasuh dengan air. Oleh itu, sunat sahaja ketika menyamak kulit itu disertai dengan air. Dalam hal ini apabila kulit berkenaan selesai disamak maka harus ia diperjualbelikan, walaupun ia tidak dibersihkan dengan air.

Akan tetapi dalam masalah menggunakannya untuk kepentingan ibadat sembahyang, seperti dibuat pakaian untuk menutup aurat dan seumpamanya, ataupun untuk kegunaan menyimpan barang yang basuh seperti air dan seumpamanya, tidak harus menggunakan kulit yang telah siap disamak bagi tujuan-tujuan tersebut (untuk dibawa sembahyang dan menyimpan benda yang basah) melainkan setelah dicuci dengan air, walaupun ia disamak dengan bahan yang suci, apatah lagi jika kulit itu disamak dengan menggunakan bahan penyamak yang najis, kerana kulit yang telah disamak itu diumpamakan seperti pakaian yang terkena najis.

Adapun jika dibersihkan najis itu dengan air sebelum kulit itu disamak adalah tidak memadai. Sebagai contoh, jika kulit yang belum disamak itu terkena najis mughallazhah lalu disucikan dengan air sebanyak tujuh kali dimana salah satunya bercampur tanah, maka tidak diterima thaharah (penyucian) itu. 
(Nihayah al-Muhtaj, Kitab ath-Thaharah, Bab an-Najasah Wa Izalatuha : 1/251 , Al-Minhaj fi Syarh Shahih Muslim, Kitab al-Haid, Bab Thaharah Julud al-Maitah, Mughni al-Muntaj, Kitab ath-Thaharah, Bab an-Najasah).

Kesimpulannyaa, sungguhpun kulit yang sudah disamak dianggap suci dari segi di mana sebelumnya ia dianggap sebagai bangkai, akan tetapi ia belum boleh dimanfaatkan (kecuali dalam masalah jual beli) melainkan setelah dibersihkan terlebih dahulu dengan air setelah kulit berkenaan siap disamak. Adapun pembersihan kulit dengan menggunakan air sebelum atau semasa kulit disamak adalah tidak memadai.

Penggunaan Kulit Binatang

Penggunaan kulit binatang yang telah disamak adalah diharuskan dalam Islam sama ada dijadikan kasut, pakaian atau sebagainya. Walaubagaimanapun perlu diingat bahawa kulit anjing dan babi adalah tidak harus dimanfaatkan walaupun sesudah disamak.

Seperti yang sudah dimaklumi bahawa anjing dan babi itu keduanya adalah najis mughallazah (najis berat). Selain ditegah memakan daging babi dan anjing, ditegah juga memanfaatkan segala anggota binatang itu seperti kulit, bulu dan sebagainya, kerana babi dan anjing itu sendiri adalah najis al-‘ain.)

Sesuatu yang basah atau cecair yang datang daripada najis anjing, dan babi, seperti tahi, kencing, air liur, peluh dan darah adalah najis. Begitu juga sesuatu yang kering daripadanya seperti bulu dan kulit apabila disentuh dalam keadaan basah juga adalah najis. Cara menyucikan daripada najis ini, hendaklah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Salah satu daripadanya air yang bercampur tanah. (Mughni al-Muhtaj, Kitab ath-Thaharah, Bab an Najasah : 1/118).

Ada juga sebahagian ulama seperti al-Awza’ie dan ulama yang sependapat dengan beliau mengatakan bahawa binatang buas seperti harimau, serigala dan sebagainya, adalah ditegah menggunakannnya. Mereka berhujah dengan hadis daripada Usamah yang maksudnya :

“Bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melarang daripada menggunakan kulit-kulit binatang buas. “(Hadis riwayat Abu Daud).

Dalam riwayat yang lain, daripada Usamah yang maksudnya :
“Sesungguhnya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melarang daripada menggunakan kulit-kulit binatang buas untuk dihamparkan sebagai alas.” (Hadis riwayat At-Taarmidzi).

Namun menurut ashab asy-Syafi’e, semua kulit bangkai itu termasuk kulit binatang buas adalah suci setelah disamak, melainkan kulit anjing dan babi. Mereka berhujah dengan beberapa dalil daripada hadis, di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas, beliau berkata yang maksudnya :
“Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Jika kulit disamak maka ia menjadi bersih.” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis yang lain, daripada ‘Aisyah Radiallahuanha yang maksudnya :
“Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengizinkan untuk menggunakan kulit-kulit bangkai jika telah disamak.” (Hadis riwayat An-Nasa’i)

Hadis di atas menunjukkan bahawa kulit bangkai binatang adalah suci setelah disamak. Kulit bangkai di sini adalah umum termasuklah juga kulit binatang buas melainkan apa yang telah disepakati akan larangannya iaitu anjing dan babi.

Adapun hujjah daripada hadis yang dikemukakan oleh Al-Awza’ie sebelum ini boleh dimaksudkan kepada kulit binatang buas yang masih berbulu, kerana pada kebiasaanya kulit binatang buas itu digunakan dalam keadaannya yang masih berbulu. Oleh itu, kulit binatang buas itu tidaklah najis, namun yang dimaksudkan dalam hadis itu ialah bulu yang ada pada kulit tersebut. Ini kerana kulit bangkai yang masih nyata berbulu tidak akan suci walaupun setelah disamak, kerana samak itu tidak akan memberi kesan kepada bulu. (Al-Majmu’, Kitab Ath-Thaharah, Bab al-A’niah : 1/277-278).

Oleh itu, kulit yang telah disamak dan suci, harus digunakan samada untuk dijadikan pakaian, tempat menyimpan barang yang basah atau kering, dijual beli dan boleh dibawa ketika sembahyang. Adapun memakan kulit bangkai yang disamak, menurut qaul qadim dan pendapat yang ashah adalah haram sama ada ia binatang ma’kul (yang boleh dimakan) atau ghair al-ma’kul (tidak boleh dimakan). (Al-Majmu’, kitab ath-Thaharah, Bab al-A’niah : 1/287).

Memandangkan kepentingan penggunaan barangan yang diperbuat daripada kulit di mana setengahnya dianggap sebagai keperluan seharian, tidak hairanlah ia menjadi sumber ekonomi bagi sesetengah pihak. Banyak barang-barang yang diperbuat daripada kulit yang boleh kita lihat di pasaran seperti kasut, beg, dompet, baju, tali pinggang dan sebagainya dengan pelbagai jenama dan kualiti yang berbeza-beza. Sudah tentu juga ia diperbuat daripada kulit binatang yang berbeza. Malahan terdapat sesetengahnya diperbuat daripada kulit yang najis iaitu kulit anjing dan babi.

Oleh itu, setiap umat Islam perlu berhati-hati dalam meilih keperluan masing-masing. Pastikan pilihan kita bukan daripada kulit yang najis itu.

1. Tujuan menyamak ialah untuk menyucikan kulit yang najis (bangkai).

2. Hukum menyamak kulit adalah harus.

3. Menyamak tidak tertentu kepada orang Islam sahaja bahkan orang kafir pun boleh menyamak asalkan ia mengikut cara yang dilakukan oleh orang Islam.

4. Hubungan menyamak kulit dengan kehidupan manusia:

Untuk menambahkan ekonomi bagi mereka yang melakukannya. Untuk mengelakkan daripada pembaziran.

5. Hanya kulit sahaja yang boleh disamak, tidak boleh pada kuku, gigi dan tulang.

6. Takrif dan pengenalan bangkai :

Binatang yang halal dimakan yang mati tidak disembelih mengikut cara-cara Islam. Binatang yang haram dimakan yang mati sama ada disembelih atau tidak, tetap ia menjadi bangkai.

7. Binatang-binatang yang mati termasuk dalam jumlah bangkai:-

Binatang yang disembelih dengan menggunakan tulang. Binatang yang disembelih oleh orang Majusi (orang yang menyembah api) Sembelihan orang-orang yang berihram (Ihram haji atau umrah)

8. Binatang yang tidak suci kulitnya walaupun disamak:

Babi
Anjing

Anak yang dilahirkan daripada perkahwinan di antara anjing dan babi

Anak yang dilahirkan daripada perkahwinan binatang yang halal dengan anjing atau babi.

9. Alat-alat yang digunakan untuk menyamak kulit iaitu sesuatu yang tajam rasanya atau kelat seperti tawas, cuka, asam, limau dan sebagainya.

10. Cara menyamak kulit binatang :

Terlebih dahulu hendaklah disiat kulit binatang daripada anggota badan binatang (setelah disembelih). Dicukur semua bulu-bulu dan dibersihkan segala urat-urat dan lendir-lendir daging dan lemak yang melekat pada kulit. Kemudian direndam kulit itu dengan air yang bercampur dengan benda-benda yang menjadi alat penyamak seperti asid dan bahan kimia sehingga tertanggal segala lemak-lemak daging dan lendir yang melekat di kulit tadi. Kemudian diangkat dan dibasuh dengan air yang bersih dan dijemur.

11. Kulit yang disamak itu haram dimakan kerana boleh mendatangkan mudarat pada anggota badan manusia.

12. Maksud perkataan suci zahir dan batin pada menyamak kulit binatang:
Suci pada zahir itu ialah ialah sebelah luar tempat tumbuh bulu yang telah dicukur dan kulit itu melekat pada daging. Suci pada batin ialah di sebelah dalam kulit yang bermakna kulit itu dibelah maka bekas belahan itu suci.

13. Bulu-bulu binatang yang telah disamak dan terlekat pada kulit kiranya sedikit adalah dimaafkan.

14. Hubungan menyamak kulit binatang dengan ilmu-ilmu yang lain:

Pada Ilmu Muamalat kulit yang telah disamak boleh dijualbeli. Pada Ilmu Jinayat kulit yang telah disamak boleh dipotong tangan apabila dicuri. Pada Ilmu Faraid kulit yang telah disamak boleh dipusakakan

15. Kesimpulan ialah menyamak kulit binatang adalah bertujuan menyucikan kulit.
( Kitab Matlaal Badrain - Syeikh Daud Fattani )

Perbincangan berkaitan status makanan halal

Hukum memakan ketam batu dan seumpamanya

Apa yang ditanya adalah perihal binatang dua alam. Setakat pencarian dan perolehan awal, tidak terdapat sebarang dalil yang khusus mengatakan binatang dua alam itu haram dimakan. Persoalannya, bagaimana pula hukum ini boleh keluar apatah lagi ia merupakan qaul yang masyhur dalam mazhab syafi’I sepertimana dinukilkan oleh kitab-kitab an-Nawawi; Imam Rafi’iy dan al-Ghazali. 

Pendapat ini juga dipegang oleh mazhab Hanbali. Mereka yang mengatakan binatang dua alam ini haram di makan berdasarkan hadis berikut:

Dari Abdur Rahman ibnu Uthman menerangkan, “Dihadapan Rasulullah S.A.W. seorang tabib memeperagakan semacam ubat dan dia menyebutkan tentang hal katak yang dimasukkan ke dalam ubat itu. Rasulullah S.A.W. melarang kita membunuh katak itu.”[HR Ahmad, Abu Daud dan An-Nasa’I]

Hukum ke atas katak ini, kemudian diqiaskan kepada yang hidup sepertimana katak.
Sabdanya lagi, “Airnya,(iaitu laut) menyucikan dan halal bangkainya.”

Hadis di atas merujuk kepada hidupan laut. Adapun binatang dua alam ini tidak termasuk dalam keterangan di atas kerana mereka juga hidup di darat. Maka berdasarkan firman allah di bawah, mereka membuat kesimpulan bahawa dua alam itu haram di makan.
“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai,…..”[5:3]

Di samping itu terdapat juga beberapa hadis yang menjelaskan ayat di atas iaitu:
Rasullullah S.A.W. bersabda, “Dihalalkan untuk kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah; ikan dan belalang, hati dan limpa.”

Ulama’ mengqiaskan ikan itu kepada segala jenis hidupan laut yang hanya tinggal di dalam laut/air. Oleh itu, binatang 2 alam tidak termasuk.

Walaupun begitu, perlu kita ketahui bahawa dalam Islam, Bahawa asal setiap sesuatu ciptaan Allah adalah harus. Ia tidak diharamkan melainkan jika ada nash yang sahih lagi sharih (jelas/tegas) dari syari’ yang mengharamkannya. Jika di sana tidak ada nash yang sahih – seperti ada nash tetapi dengan hadis dha’if – atau nash berkenaan sahih tetapi tidak sharih dalam menunjukkan keharamannya, maka hal ini akan kekal atas sifat asalnya sebagai hal yang diharuskan.

Daripada Abi Darda’, Rasulullah S.A.W. bersabda, “Apa yang Allah halalkan di dalam KitabNya, maka ia adalah halal. Dan, apa yang Allah haramkan, maka ia adalah haram. Manakala apa yang didiamkan olehNya, maka ia adalah dimaafkan. Oleh itu, terimalah kemaafan dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan lupa sedikitpun.” Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca ayat: “Dan Tuhanmu tidak pelupa.”(Maryam: 64) (HR Al-Hakim, dan dia mensahihkannya dan dikeluarkan oleh al-Bazzar, dia berkata: Sanad yang baik).

Maka, berdasarkan dalil yang dipakai oleh mereka yang mengatakan binatang dua alam itu haram, kita dapati tidak terdapat satupun yang khusus menunjukkan ke arah keharamannya. Dalil yang paling hampir ialah mengenai katak. Tetap berdasarkan kaedah yang telah diutarakan, kalau kita menerima hadis ini menunjukkan keharaman, keharaman itu hanyalah ditujukan kepada katak. Mengqiaskannya kepada semua yang hidup dua alam itu tidak tepat. Sekiranya kita menerima pendapat haramnya binatang dua alam, mengapa pula kita boleh memakan ketam/kerang yang pada biasanya dijual di pasar-pasar dalam keadaan hidup. Bukankah itu membuktikan binatang ini mampu hidup di atas darat?

Pendapat yang kuat ialah secara umumnya, binatang dua alam itu halal. Dia didiamkan syara’. Hanya saja kita perlu ingat, bahawa Islam juga ada menggariskan satu lagi kaedah dalam mengenal pasti halal atau haramnya sesuatu binatang itu, iaitu berdasarkan kepada firman Allah S.W.T.:

“Hai manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi ini yang halal dan baik, dan jangan kamu mengikuti jejak syaitan karena sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang-terangan bagi kamu.” ( Surah Al-Baqarah: 168)

“Katakanlah! Aku tidak menemukan tentang sesuatu yang telah diwahyukan kepadaku soal makanan yang diharamkan untuk dimakan, melainkan bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi; karena sesungguhnya dia itu kotor (rijs), atau binatang yang disembelih bukan karena Allah. Maka barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melewati batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun dan Maha Belas-kasih.” (Surah Al-An’am: 145)

Dari ayat di atas, illat kepada keharaman bangkai, darah yang mengalir, babi adalah kotor. Berdasarkan illat ini, kita boleh mengqiaskannya kepada apa-apa binatang yang mempunyai illat yang sama dengannya iaitu kotor. Sebagai contoh, sekiranya kita melihat sesuatu binatang itu sememangnya kotor dari segi gaya hidup dan seumpamanya, maka ia menjadi haram. Walaupun begitu, kita perlu ingat, kadang-kadang uruf dari satu tempat ke satu yang lain itu berlainan. Mungkin pada masyarakat negara Malaysia, binatang itu menjijikkan, tetapi pada masyarakat berbangsa China tidak pula.

Maka, kesimpulannya, setiap apa yang dinyatakan dalam nas yang mengatakan ia haram, itulah haram. Yang tidak dikatakan haram, maka ia didiamkan syara’. Namun Islam menitikberatkan kebersihan. Tinggalkanlah sesuatu perkara yang dianggap pada dirinya jijik dan kotor. Tetapi jangan pula kita menjadi pelik jika ada orang yang memakannya di negara lain.

Hukum makan Telur penyu, tuntung dan telur buaya dan menggunakan organ dalaman binatang buas untuk membuat Ubat

1a. Buaya - menurut pandangan yang sahih bahawa adalah haram memakannya, kerana ia juga duduk didarat dan mempunyai taring, walaupun ia menghabiskan masa yang lama didalam air, akan tetapi sebab yang awal tadi mendahului hukum (binatang darat yang bertaring). 

Ensaiklopedia Fiqh Kuwait mengatakan bahawa buaya diharamkan oleh Mazhab Syafie dan Hanbali:

وللاستخباث في التمساح ; ولأنه يتقوى بنابه ويأكل الناس .

“Kerana kotornya buaya dan sesungguhnya ia kuat pada taringnya dan buaya memakan orang”

Sudah tentu telur buaya juga haram dimakan.

1b. Penyu - Binatang yang memang tinggal di laut dan juga yang tinggal di darat, tiada khilaf dikalangan ulama’. Akan tetapi, binatang yang hidup didalam dua alam, wujudnya khilaf dikalangan ulama’, ternasuklah penyu. Berkata Dr Abdullah Faqih :-

أجاز العلماء أكل السلحفاة لعموم قوله تعالى : (كلوا مما في الأرض حلالاً طيباً ) وقوله أيضا (وقد فصل لكم ما حرم عليكم ) وقالوا عن تذكية السلحفاة: ما يعيش في البر يذكي بلا خلاف في ذلك ، وما يعيش في البر والبحر ككلب الماء والسلحفاة فاختلفوا فيه بين من قال بالتذكية، ومن لم يقل بها ، والأولى التذكية خروجا من الخلاف .

“Ulama; membenarkan memakan penyu atas umum perintah Allah S.W.T. :- (Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik 2:16 dan juga firmannya (padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu 6:119) dan mereka bercakap mengenai rekomendasi penyu : apa yang hidup di darat, tidak ada perselisihan mengenainya, dan apa di bumi dan laut seperti anjing air dan penyu tersedapat khilaf dikalangan mereka, mereka yang rekomen berkata : sesiapa yang tidak mempercayainya, dicadangkan mula-mula sekali keluar dari perselisihan”

Ibn Qudamah rh. didalam al-Mughni mengatakan bahawa penyu boleh dimakan sekiranya disembelih. Katanya :

كل ما يعيش في البر من دواب البحر , لا يحل بغير ذكاة , كطير الماء , والسلحفاة , وكلب الماء , إلا ما لا دم فيه , كالسرطان , فإنه يباح بغير ذكاة .

“Semua yang hidup didarat dari kalangan binatang laut, tidak halal tanpa disembelih, sebagaimana burung laut, penyu, anjing laut, melainkan ia tidak berdarah seperti ketam dihalalkan tanpa sembelih”

Dikalangan ulama’ yang berpegang kepada pandangan ini membenarkan memakan telur penyu.

2. Mengenai berubat dengan menggunakan barangan haram, disini saya mengambil petikan pandangan Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi, didalam bab (ضرورة الدواء) dalurat kerana berubat, didalam buku halal dan haram (ms 49-50) (terjemahan Ustaz Zainys, al-ahkam) :-

وأما ضرورة الدواء -بأن يتوقف برؤه على تناول شيء من هذه المحرمات- فقد اختلف في اعتبارها الفقهاء.. فمنهم من لم يعتبر التداوي ضرورة قاهرة كالغذاء، واستند كذلك إلى حديث “إن الله لم يجعل شفائكم فيما حرم عليكم”. ومنهم من اعتبر هذه الضرورة وجعل الدواء كالغذاء، فكلاهما لازم للحياة في أصلها أو دوامها، وقد استدل هذا الفريق -على إباحة هذه المحرمات للتداوي- بأن النبي صلى الله عليه وسلم رخص في لبس الحرير لعبد الرحمن بن عوف والزبير بن العوام رضي الله عنهما لحكة -جرب- كانت بهما. مع نهيه عن لبس الحرير، ووعيده عليه. وربما كان هذا القول أقرب إلى روح الإسلام الذي يحافظ على الحياة الإنسانية في كل تشريعاته ووصاياه. ولكن الرخصة في تناول الدواء المشتمل على محرم مشروطة بشروط: أن يكون هناك خطر حقيقي على صحة الإنسان إذا لم يتناول هذا الدواء. ألا يوجد دواء غيره من الحلال يقوم مقامه أو يغني عنه. أن يصف ذلك طبيب مسلم ثقة في خبرته وفي دينه معا. على أنا نقول مما نعرفه من الواقع التطبيقي، ومن تقرير ثقات الأطباء: أن لا ضرورة طبية تحتم تناول شيء من هذه المحرمات -كدواء- ولكننا نقرر المبدأ احتياطا لمسلم قد يكون في مكان لا يوجد فيه إلا هذه المحرمات.

“Darurat kerana berubat ialah, kesembuhan suatu penyakit bergantung kepada makanan yang diharamkan. Mengenai hal ini, para fuqahak telah berselisih pendapat mengenainya. Sebahagian mereka tidak menganggap berubat dalam keadaan ini sebagai darurat yang memaksa sebagaimana dalam masalah makan. Pendapat ini bersandarkan kepada Hadis:
Ertinya: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhanmu dengan sesuatu yang Ia haramkan atas kamu.” (Riwayat Bukhari)

Sebahagian fuqahak pula mengatakan bahawa ia dapat digolongkan di dalam keadaan darurat. Mereka menganggap masalah memakan ubat sama seperti masalah makan (boleh makan yang diharamkan ketika darurat). Dalil golongan yang membolehkan memakan yang haram kerana berubat ialah, Nabi Muhamad s.a.w. pernah memberi rukhsah (keringanan) memakai sutera kepada Abdul Rahman bin Auf dan al-Zubair bin al-Awam r.a. Ini disebabkan penyakit yang menimpa mereka berdua, sedangkan pemakaian sutera adalah dilarang dan pemakainya diancam.

Barangkali inilah pendapat yang lebih hampir kepada roh Islam yang bersifat sentiasa melindungi kehidupan manusia. Sifat ini boleh kita perolehi di dalam setiap pensyariatan dan pesan-pesannya.

Namun, rukhsah (keringanan) memakan ubat yang mengandungi bahan yang diharamkan ada beberapa syaratnya, iaitu:

Dapat benar-benar membahayakan kesihatan jika tidak memakan ubat berkenaan.
Tidak terdapat ubat lain yang halal sebagai penggantinya.

Hal ini disahkan oleh doktor yang dapat dipercayai dari sudut kepakaran dan agamanya.
Dapat kami katakan dari apa yang kami ketahui berdasarkan kepada kenyataan yang berlaku dan bersandarkan kepada kenyataan doktor-doktor yang dapat dipercayai: Bahawa tidak ada darurat perubatan yang sampai ke peringkat terpaksa memakan sesuatu yang diharamkan sebagai ubat. Cuma, kami di sini hanya menetapkan prinsipnya sahaja sebagai langkah berjaga-jaga (ihthiati) kepada orang Islam yang kadangkala berada di suatu situasi di mana tidak ada apa-apa melainkan yang diharamkan sahaja.